ROKOK seludup mengandungi lebih daripada 45mg tar.
Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Rokok seludup yang dijual meluas di pasaran tempatan dikesan mempunyai kandungan tar dan nikotin tiga kali ganda lebih tinggi daripada dibenarkan menurut undang-undang Malaysia.

Berdasarkan kajian Jabatan Bioteknologi (Institut Sains Biologi) Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) ke atas lima jenama rokok seludup iaitu Surya Gudang Garam, Nusantara Gudang Garam, Sampoerna, LA Lights dan Nusantara Menthol mendapati kandungan tar melebihi had dibenarkan.

Kajian juga mendapati sampel rokok Surya Gudang Garam mengandungi lebih daripada 45 miligram (mg) tar di dalam setiap batang rokok, satu jumlah sangat tinggi berbanding paras dibenarkan iaitu 15 mg bagi setiap batang rokok.

Ketua penyelidik kajian itu Dr Chandran Somasundram berkata, langkah proaktif perlu dipergiatkan untuk mencegah rokok seludup kerana kesannya boleh membawa maut dengan kandungan tar, nikotin dan karbon monoksida yang jauh melebihi had dibenarkan.

“Hasil kajian ini sungguh mengejutkan. Pihak berkuasa perlu meningkatkan penguatkuasaan dan mengenakan penalti lebih tinggi ke atas sindiket penyeludupan rokok kerana kesannya membimbangkan dan menjejaskan kualiti kesihatan rakyat Malaysia.

“Kotak rokok seludup tidak mempunyai amaran kesihatan bergambar di atasnya selain tidak mematuhi undang-undang kerana dijual dalam pek 12 hingga 16 batang.

“Selain itu, kandungan tar dan nikotin lebih tinggi di dalam keretek haram berfungsi menggalakkan ketagihan, sekali gus menyukarkan perokok menghentikan tabiat merokok,” katanya.

Menurutnya, situasi itu membimbangkan kerana rokok seludup dijual meluas kepada kanak-kanak, golongan muda dan masyarakat di luar bandar yang memberi implikasi ketidakseimbangan tahap kesihatan di antara kumpulan sosial berlainan.

Dr Chandran berkata, kajian yang dijalankan Januari tahun lalu turut mendapati rokok seludup mungkin dicemari bahan kimia atau produk bukan tembakau ketika proses menyeludup ke negara ini bersama barangan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 9:01 AM
Skip this ad x