Mohamad (kiri) menyerahkan sumbangan Tabung Bencana NSTP-Media Prima kepada Amrin di Wisma Negeri, semalam.

Seremban: Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) menyumbang RM49,900 kepada Tabung Bencana The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP)-Media Prima Berhad (MPB), bagi membantu mangsa banjir di pantai timur.

Sumbangan itu disampaikan Menteri Besar merangkap Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Seri Amrin Awaluddin, di Wisma Negeri di sini, semalam.

Mohamad berkata, wang berkenaan dikutip menerusi penjualan tiket tiga perlawanan amal persahabatan bertemu Terengganu, Perak dan Sarawak yang diadakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, bulan lalu.

“Kami ucapkan terima kasih kepada MPB sebagai organisasi berada di hadapan dari segi membantu mangsa bencana alam di negara ini menerusi Tabung Bencana NSTP-Media Prima untuk membolehkan rakyat Malaysia menyalurkan sumbangan.

“Sumbangan ini amat bermakna dalam meringankan beban mangsa dan saya mengucapkan terima kasih kepada peminat serta penyokong bola sepak negeri ini yang sama-sama memberikan komitmen terhadap usaha kita mengadakan perlawanan persahabatan itu sebagai program amal membantu mangsa banjir,” katanya.

Amrin berkata, sehingga kini tabung berkenaan menerima sumbangan lebih RM6.1 juta dan diagihkan kepada pihak terbabit.

Beliau berkata, pihaknya memastikan semua sumbangan orang ramai dan korporat kepada tabung berkenaan disampaikan kepada penduduk terjejas melalui projek bantuan diatur MPB dari semasa ke semasa.

“Antara bantuan digerakkan baru-baru ini sumbangan buku bernilai RM750,000 kepada 50 pusat sumber sekolah di Kelantan yang terjejas akibat banjir.

“Selain itu, minggu sebelum ini, kami turut melancarkan telaga air di kawasan terjejas bagi membantu mangsa mendapatkan air bersih.

“Kami harap bantuan dan khidmat sukarela ini dapat diteruskan bukan saja di Kelantan, malah di Terengganu, Pahang dan Perak,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berterima kasih kepada Menteri Besar, kerajaan negeri dan penyokong bola sepak negeri ini yang menunjukkan keprihatinan untuk membantu mangsa banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 7:06 AM