Kuala Lumpur: Enggan membayar hutang lama menjadi punca seorang lelaki bersama lima rakannya menyerang seorang lelaki yang menuntut wang darinya.

Dalam kejadian jam 10 malam kelmarin, mangsa lelaki berusia 42 tahun cedera di kepala dan badan selepas dipukul sekumpulan enam lelaki bersenjatakan kayu dan besi di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah di sini.

Sumber berkata, kejadian tercetus apabila mangsa didakwa bertengkar dengan suspek lelaki berusia 29 tahun yang enggan membayar hutangnya.

“Bagaimanapun pemilik restoran itu mengarahkan mereka berbincang di luar restoran berikutan mengganggu pelanggan lain.

“Bagaimanapun suspek menghubungi bapanya dan lima lagi rakan lain ke restoran berkenaan. Semua mereka yang bersenjatakan kayu dan besi menyerang mangsa beramai-ramai,” katanya.

Mangsa yang cedera kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah di sini.

Tambahnya, pihak polis kemudian berjaya menahan seorang lelaki berusia 29 tahun dan sedang memburu yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 8:41 AM