Georgetown: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pulau Pinang, memeriksa 16,354 premis dalam menangani isu kenaikan harga barangan dan caj perkhidmatan yang tidak munasabah.

Malah, dalam operasi Ops Catut bermula dari 15 Januari hingga 5 Februari lalu, pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap 115 kes dengan membabitkan nilai rampasan RM12,384.90 dan kutipan kompaun sebanyak RM14,550.

Ketua Pegawai Penguat kuasa PPDNKK negeri Suhaimi Mat Sari berkata, menerusi operasi sama sebanyak 10 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Selain itu, 56 kes dicatatkan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, 58 kes mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 serta satu kes mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Bagi kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, jika sabit kesalahan, boleh didenda RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kedua pula, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali (perseorangan).

“Bagi kesalahan syarikat pula, denda boleh dikenakan sehingga RM100,000 atau kesalahan kali kedua boleh didenda tidak melebihi RM250,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Sehubungan itu, PPDNKK Pulau Pinang mengharapkan kerjasama dari semua pihak terutama pengguna dan aduan berkaitan isu kenaikan harga boleh dibuat di kpdnkk.gov.my atau talian 04-2252555

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:12 AM