MANGSA maut di tempat kejadian.
Oleh: Yusmawati Mhd Yusof

Jasin: Seorang remaja lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh bahagian belakang sebuah kereta dinaiki lima sekeluarga di Jalan Kilang Berapi, Merlimau di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, mangsa, Muhammad Zaki Mohd Healmy, 17, menunggang motosikal Yamaha LC dari arah Merlimau ke Kampung Sempang dan berada di belakang sebuah kereta jenis Perodua Kancil dipandu seorang guru lelaki berusia 33 tahun bersama isteri dan tiga orang anaknya dari arah sama.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, sebaik tiba di lokasi, kenderaan itu memberi isyarat untuk membelok ke kanan jalan untuk ke kedai makan berhampiran.

“Bagaimanapun, mangsa yang berada di belakang gagal mengelak sebelum motosikal yang ditunggangnya merempuh bahagian belakang kereta berkenaan.

“Rempuhan itu mengakibatkan mangsa tercampak di atas jalan manakala kereta Perodua Kancil itu terbabas ke hadapan dan hampir masuk ke kedai makan di situ,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa dipercayai mengalami pendarahan dalaman disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayatnya dihantar ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 9.07 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:15 AM