TENGKU Adnan (tengah) bersama penduduk Putrajaya bergotong-royong memasak ketika Kenduri Rakyat 1 Wilayah Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya.
TENGKU Adnan (tengah) bersama penduduk Putrajaya bergotong-royong memasak ketika Kenduri Rakyat 1 Wilayah Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Memiliki lapan tapak perniagaan di Pasar Keramat, Kuala Lumpur selain menyewakannya kepada warga asing sebanyak RM3,000 sebulan dikatakan menjadi punca peniaga pasar itu enggan berpindah ke Keramat Mall.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kebanyakan peniaga enggan berpindah kerana bimbang pendapatan daripada sewaan tapak terjejas memandangkan setiap peniaga hanya diberikan satu tapak jika berpindah ke Keramat Mall.

Beliau berkata, buat masa ini, lebih 200 peniaga enggan berpindah dipercayai dipengaruhi dalang dan individu yang mempunyai kepentingan di pasar berkenaan.

“Bayangkan di Pasar Keramat ada individu memiliki lapan tapak dan hanya mengaut keuntungan dengan menyewakannya.

“Ada juga dalam kalangan mereka memberi sewa kepada peniaga warga asing dengan kadar RM3,000 sebulan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kenduri Rakyat 1Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya di Kompleks Futsal Mokhtar Dahari, Presint 18, di sini, semalam.

Katanya, pihaknya bertegas mahu memindahkan semua 321 peniaga Pasar Keramat ke Keramat Mall selewat-lewatnya akhir tahun ini memandangkan persekitaran pasar lama yang kotor selain menjadi lokasi pembiakan tikus.

Tengku Adnan berkata, beliau pernah melakukan lawatan mengejut di pasar berkenaan pada waktu malam dan menyaksikan masalah pencemaran di kawasan itu selain turut menjadi lokasi pembiakan tikus.

“Perkara itu amat serius dan ia memberi kesan negatif kepada Kuala Lumpur sebagai ibu negara.

“Saya juga akan mengarahkan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus mengadakan penguatkuasaan di Pasar Keramat selain membawa Kementerian Kesihatan melakukan pemeriksaan,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini, kira-kira 100 peniaga sudah berpindah ke kompleks perniagaan Keramat Mall manakala 200 lagi berdegil biarpun sudah diberikan pampasan seperti dijanjikan.

“Segala kemudahan untuk keselesaan peniaga dan pengguna sudah dinaik taraf termasuk ditawarkan Mini Pusat Transformasi Bandar (UTC) Keramat Mall,” katanya.

Beliau berkata, Keramat Mall bakal mengubah nasib peniaga yang sebelum ini mengeluh kerana terpaksa menanggung kerugian ekoran kompleks berkenaan kurang dikunjungi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:24 AM