Kuala Lumpur: “Isteri yang baik adalah isteri yang tahu membahagiakan suaminya, tapi suami jangan pula ambil kesempatan paling penting keadilan, kemampuan dan ilmu agama tinggi perlu ada dalam dirinya sebelum berpoligami,” kata Timbalan Pengerusi Pertubuhan Sokongan Keluarga Ceria Negeri Johor (PEKA) Azri Hohad, semalam.

Beliau mengulas muka depan Harian Metro semalam berkaitan luahan hati seorang remaja Rashidah Abd Rashid, 15, yang bahagia mempunyai dua ibu selepas bapanya mengahwini rakan karib ibunya.

Menariknya, perkahwinan kedua bapanya Abd Rashid Zainal, 40, diaturkan ibu remaja terbabit, Sumaiyah Sulaiman, 41, yang meminang rakan karibnya sendiri Siti Nor Jaffar, 41, sebagai madunya.

Mengulas lanjut kehidupan bahagia keluarga berkenaan yang duduk sebumbung itu, Azri berkata, kisah berkenaan harus dijadikan teladan dan contoh kepada masyarakat hari ini yang sering menganggap poligami sesuatu yang buruk.

“Kisah mereka itu membuktikan tidak semua poligami bermasalah. Kalau mengikut lunas digariskan Rasulullah, saya percaya inilah hasilnya.

“Kadangkala poligami ini ditakdirkan dalam sesebuah keluarga itu kerana bersebab untuk melengkapi kekurangan yang ada pada setiap pasangan.

“Contohnya, sebagai manusia seseorang wanita itu sudah tentu tidak boleh memenuhi sepenuh permintaan dan memuaskan hati pasangannya, justeru, untuk melengkapi kekurangan itu sudah tentu Allah hadirkan seseorang (madu) dalam rumah tangganya,” katanya.

Beliau turut mengakui poligami bukan sesuatu yang mudah, suami perlu berperanan penting untuk memastikan bahtera perkahwinannya itu bahagia.

“Untuk mewujudkan keluarga harmoni dan bahagia dengan seorang isteri pun bukan perkara mudah, apatah lagi bila sudah ada dua isteri dan dua keluarga dalam satu masa.

“Jadi, untuk mewujudkan keluarga bahagia dan harmoni, suami perlu pandai dan bijak mengurus kedua-dua isteri dan keluarganya (adil), malah paling ketara ilmu agama mesti ada sebab bila ada agama yang tinggi, suami takut untuk tidak berlaku adil kerana sedar dia pegang amanah Allah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:27 AM