Mohd Ashrul (kanan) menerangkan sesuatu kepada Shahrul Ikhwan (tiga dari kanan) mengenai dana untuk pesakit leukemia daripada YKN, semalam.
Shahrul Ikhwan memerlukan RM21,000 untuk menampung kos rawatan pemindahan darah.

Kapar: “Saya buntu apabila memikirkan kos rawatan leukemia yang dihadapi sejak tujuh bulan lalu mencecah RM3,000 sebulan sedangkan saya sudah tidak bekerja dan hanya mengharapkan pendapatan ayah sebagai pengawal keselamatan.

“Lebih runsing apabila memikirkan wang simpanan saya dan ayah semakin ‘kering’ untuk menampung kos rawatan,” luah Shahrul Ikhwan Miskam, 23.

Menurutnya, sejak disahkan menghidap leukemia pada Ogos lalu dunianya gelap kerana memikirkan diri bakal ‘dijemput’ maut jika tidak menjalani rawatan yang mencecah puluhan ribu ringgit.

Dia yang sebelum ini bekerja sebagai kerani akaun dengan pendapatan RM1,200 sebulan adalah ‘kantung’ pendapatan kepada keluarganya dan membantu bapanya, Miskam Kasran, 49, yang bergaji RM900 sebulan menyara kehidupan seharian.

“Segalanya berubah apabila saya disahkan menghidap luekemia. Saya tidak boleh bekerja lagi dan setiap bulan hospital destinasi wajib dikunjungi bagi mendapatkan rawatan.

“Ayah juga bekerja lebih masa bagi menampung perbelanjaan keluarga termasuk adik bongsu yang belajar di tingkatan lima,” kata anak sulung daripada tiga beradik berkenaan.

Sementara itu Miskam berkata, jika dulu anaknya itu membantu meringankan beban keluarga, namun kini nasib keluarga mereka umpama sudah jatuh ditimpa tangga.

“Sudahlah Shahrul Ikhwan tidak dapat bekerja malah dengan pendapatan saya yang tidak seberapa ini perlu menampung keperluan keluarga dan kos rawatan perubatannya.

“Kami buntu memikirkan bagaimana mengumpulkan dana RM21,000 bagi membuat pemindahan darah terhadap Shahrul Ikhwan untuk melihatnya kembali tersenyum dan sihat seperti sedia kala,” katanya sambil mengesat air mata.

Menurutnya, kos untuk membuat pemindahan darah berkenaan perlu disediakan secepat mungkin, jika tidak keadaan anaknya semakin tenat, malah perlu menanggung kos rawatan bulanan yang semakin tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 9:04 AM