AHLI keluarga mangsa mengaminkan doa di pusara Nur Umairah. Gambar kecil, Hussain menunjukkan kesan kerosakan pada kereta yang dipandu ibu mangsa ketika mengubah kenderaan terbabit di rumah kakaknya di Kampung Lahar, Mukim Malau.
AHLI keluarga mangsa mengaminkan doa di pusara Nur Umairah. Gambar kecil, Hussain menunjukkan kesan kerosakan pada kereta yang dipandu ibu mangsa ketika mengubah kenderaan terbabit di rumah kakaknya di Kampung Lahar, Mukim Malau.
Oleh Zuliaty Zulkiffli

Jitra: “Keadaan adik ipar saya (ibu mangsa) masih trauma dan hanya mendiamkan diri selepas kemalangan yang berlaku kerana kejadian itu di luar dugaan dan dia begitu terkejut kehilangan anak bongsu daripada lima beradik terbabit.”

Begitu kata Hussain Ladin, 63, abang ipar kepada Rasikhah Nik Nayan, 47, yang terlanggar anaknya Nur Umairah Salaiman, 3, ketika sedang membetulkan kedudukan kereta Ford Laser yang dipandunya di laman rumah kakaknya di Kampung Lahar, Mukim Malau, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika wanita berkenaan yang bekerja sebagai tukang cuci di Hospital Jitra (HJ) dan menetap di Taman Cermai, di sini, mahu menjemput empat anaknya termasuk Nur Umairah yang dihantar mengasuh di rumah kakaknya itu.

Difahamkan, ketika kejadian bapa mangsa, Salaiman Ladin, 49, dikatakan bekerja di Changlun dan kejadian hanya disedari ahli keluarga yang berada di rumah itu selepas mendapati ibunya terkejut melihat keadaan Nur Umairah ketika itu berlumuran darah.

Hussain berkata, dia dimaklumkan ibu mangsa langsung tidak menyedari Nur Umairah turun dari kereta dan berada di bahagian hadapan kenderaan sewaktu wanita berkenaan cuba membelok untuk meletakkan kereta itu di halaman rumah.

Katanya, ibu mangsa yang panik melihat anaknya terbaring dalam keadaan berlumuran darah bertindak segera memandu kereta sejauh tiga kilometer ke HJ bagi rawatan, namun doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia akibat kecederaan parah dialaminya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 7:53 AM