KEADAAN pasar mini yang terbakar.
KEDIAMAN Rosida terletak di tingkat atas sebuah pasar mini.
Oleh Yusmawati Mhd Yusof

Melaka: “Ketika itu, saya dan anak mengalami sesak nafas kerana menghidu asap tebal, namun kami syukur kerana bomba bertindak pantas,” kata Rosida Jaafar, 47, yang terperangkap hampir 30 minit di dalam rumah bersama anaknya dalam kebakaran di Tanjung Kling di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.50 pagi, Pembantu Pengurusan Murid di Sekolah Kebangsaan Lereh itu bersama anak perempuannya, Zata Nurimani Zaini, 18, sesak nafas terhidu asap apabila sebuah pasar mini di tingkat bawah rumah kedai yang disewanya terbakar.

Rosida berkata, dia yang tidur di dalam bilik di bahagian hadapan rumah di tingkat satu itu dikejutkan dengan bunyi beberapa letupan disusuli bau hangit sebelum bertindak keluar untuk melihat keadaan.

“Sebaik membuka pintu, saya terkejut apabila asap tebal memenuhi ruang tangga sebelum ia masuk ke dalam rumah. Panik dengan keadaan itu, saya menghubungi suami, Zaini Yunan, 46, yang berada di Johor dan dia meminta saya menghubungi bomba.

“Ketika itu keadaan sangat menakutkan kerana kami terperangkap, mujur di bahagian belakang rumah ini terdapat ruang terbuka dan kami duduk di situ menunggu bantuan sambil menekap muka menggunakan tuala basah bagi mengurangkan risiko terhidu asap,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, mereka yang ketika itu hampir lemas kerana asap tebal menunggu 30 minit sebelum berjaya diselamatkan anggota bomba yang memecah masuk melalui tangga dan pintu hadapan rumah kedainya.

“Pada awalnya saya menyangkakan bengkel di sebelah yang terbakar dan ketika menghubungi bomba saya memaklumkan kebakaran berlaku di premis berkenaan, namun selepas diselamatkan baru saya tahu pasar mini di tingkat bawah ini yang terbakar.

“Kami dua beranak kemudian dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Melaka oleh Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) bomba sebelum dibenarkan pulang selepas doktor mengesahkan kesihatan kami dalam keadaan baik,” katanya.

Pemilik pasar mini, Muhammad Suffie Mohammad, 20, berkata, dia yang ketika itu tidur di rumahnya di Tanjung Minyak mengetahui mengenai kejadian selepas menerima panggilan telefon daripada jiran berhampiran premis berkenaan.

“Sebaik tiba saya lihat beberapa jentera bomba dan kenderaan polis di kawasan ini, manakala anggota bomba sibuk memadamkan kebakaran. Kebakaran mengakibatkan saya mengalami kerugian lebih RM50,000 selepas beberapa bahagian kedai seperti kaunter pembayaran, rak rokok dan wang tunai hasil jualan musnah terbakar,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 5 pagi dan seramai 13 anggota serta pegawai bersama dua jentera dan sebuah EMRS ke lokasi.

“Masing-masing sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mazlan Samah dan BBP Jalan Kubu itu tiba di lokasi kejadian jam 5.10 pagi.

“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 5.39 pagi dan kebakaran mengakibatkan pasar mini itu terbakar 20 peratus. Anggota kita juga menyelamatkan seorang wanita bersama anaknya yang terperangkap di tingkat atas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 7:01 AM