VIKENES cedera parah selepas bas yang dinaiki terbabas,  pagi tadi.
VIKENES cedera parah selepas bas yang dinaiki terbabas, pagi tadi.
Oleh Asrizal Aris

Tapah: Tiga parah manakala 12 lagi pekerja kontrak menara pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta pemandu bas cedera selepas bas yang dinaiki terbabas lalu terbalik di Batu 19, Jalan Tapah-Cameron Highlands, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, bas sekolah yang membawa 15 penumpang warga India itu dipercayai dari Tapah menuju ke tempat kerja mereka di Batu 19 dekat sini.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Somsak Din Keliaw berkata, ketika tiba di lokasi kejadian sebuah kenderaan yang tidak dapat dipastikan nombor pendaftarannya didapati datang dari arah bertentangan masuk laluan bertentangan menyebabkan pemandu bas mengelak ke kiri dan terbalik.

“Kejadian itu menyebabkan bas berkenaan terbabas dan terbalik di tepi jalan.

“Tiga penumpang cedera parah manakala 12 penumpang lain serta pemandu bas terbabit warga tempatan hanya mengalami cedera ringan,” katanya.

Beliau berkata,penumpang yang cedera dibantu oleh orang awam dan dikejarkan ke Hospital Tapah untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan semua mangsa berasal dari daerah Veloor, India dan mula bekerja kontrak di menara pencawang TNB di Batu 19 itu sejak Januari lalu. Setiap hari bermula jam 8 pagi pekerja terbabit akan bergerak dari kediaman mereka di Bukit Hijau, Tapah ke Batu 19 Jalan Cameron Highland untuk berkerja di Menara Pencawang TNB.

Sementara itu, jurucakap bomba negeri ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira jam 9.19 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota bersama satu jentera digerakkan ke tempat kejadian dan hanya melakukan pemantauan dilokasi kejadian.

Katanya, operasi diketuai Penolong Bomba Kanan II Bala Subramaniam ditamatkan sekitar jam 10.13 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 7:45 AM