KEADAAN MPV selepas merempuh lori kontena yang melintang di Kilometer 235.9 PLUS.

Rembau: Angkara lori kontena melintang jalan, seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) parah, manakala tiga penumpangnya cedera selepas kenderaan yang mereka naiki merempuh lori kontena berkenaan, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam di Kilometer 235.9, Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, berhampiran Pedas-Linggi, lori kontena itu dikatakan terlanggar sebuah kenderaan di hadapannya menyebabkan pemandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan melintang jalan.

Selepas itu, MPV Toyota Avanza yang dinaiki empat lelaki terbabit dari arah sama gagal mengelak lalu merempuh bahagian tangki minyak lori kontena berkenaan.

Kejadian itu menyebabkan pemandu MPV dikenali Ang Sam, 62, parah tersepit di tempat duduk manakala tiga penumpangnya warga Bangladesh dikenali Abu Taher, Puran Sandar dan Santosh Kumar cedera ringan.

Pemandu lori kontena, Ishak Md Yusof, 52, turut mengalami kecederaan ringan dan semua mangsa dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban, dekat sini, untuk rawatan lanjut.

Rakan Ishak, Anuar Buang, 46, yang juga memandu lori kontena berkata, dia sempat berjumpa mangsa di Cheng, Alor Gajah, Melaka kira-kira dua jam sebelum kejadian dan masing-masing memulakan perjalanan ke Klang, Selangor.

Menurutnya, dia berhenti mengisi minyak di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh dan mendapati lebuh raya itu mengalami kesesakan lalu mengesyaki berlaku kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 7:48 AM