Kuala Lumpur: Seorang guru kelahiran Malaysia, yang kini mengajar di Kemboja, mempunyai peluang untuk merangkul Hadiah Guru Global Yayasan Varkey bernilai US$1 juta (RM3.56 juta) selepas dinamakan antara 10 finalis untuk merebut anugerah berkenaan.

Madenjit Singh, 58, bersama sembilan lagi calon finalis, akan diterbangkan ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) untuk menghadiri majlis anugerah sempena Forum Kemahiran dan Pendidikan Global, 15 Mac ini.

Calon finalis lain dari Afghanistan, India, Haiti, Kenya, Kemboja, United Kingdom serta tiga wakil dari Amerika Syarikat, menurut kenyataan dikeluarkan oleh yayasan itu hari ini.

Yayasan itu berkata, Madenjit Singh kini mengajar di sebuah sekolah di Kemboja di bawah Grassroots Development Institute - Science of Life Studies (GDI-SOLS) 24/7.

SOLS 24/7 adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan oleh Madenjit dengan menawarkan program latihan komprehensif selama dua tahun, dengan menyediakan kursus kemahiran hidup untuk golongan belia yang terpinggir.

Pertubuhan itu kini menguruskan 185 buah sekolah termasuk di perkampungan pedalaman di Malaysia, Kemboja, Timor Leste, Laos dan India.

Pencalonan 10 finalis itu dilakukan daripada 50 calon yang disenarai pendekkan daripada lebih 5,000 pencalonan dan 1,300 permohonan akhir daripada 127 negara.

– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:20 AM