Oleh Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel semalam dengan tegas menolak campur tangan Barisan Nasional (BN) dalam kemelut parti yang mewakili kaum India itu.

Tegas beliau lagi, demi menjaga maruah dan kehormatan parti berkenaan pihak ketiga tidak dibenarkan sama sekali terbabit dalam menentukan hala tuju MIC.

“Kami ada perlembagaan parti yang relevan mengikut undang-undang, saya berharap semua pemimpin cawangan, bahagian, perhubungan negeri dan peringkat pusat serta semua ahli peringkat akar umbi menolak usaha untuk menguburkan keadilan dalam parti yang kita sayangi ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata demikian dalam reaksi segera selepas Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam sidang media di Putrajaya memaklumkan mesyuarat pemimpin tertinggi BN mencadangkan penubuhan sekretariat khas bagi membantu MIC membuat pembersihan semua cawangan, bahagian serta menjalankan proses pemilihan semula parti mengikut perlembagaan parti komponen itu.

Sekretariat itu dicadang ditubuhkan secepat mungkin dan dipengerusikan Setiausaha Kerja BN Datuk Abu Khamis serta dianggotai parti komponen BN yang tidak berkaitan dengan kaum India seperti MCA dan Gerakan.

Perkara itu dicadangkan dalam satu mesyuarat yang dihadiri Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Tengku Adnan.

Pendirian Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu mengukuhkan lagi pandangannya sebelum ini yang tidak bersetuju dengan sebarang langkah pihak luar.

Beliau menyalahkan Pendaftar Pertubuhan (RoS) sedangkan sebelum itu jelas bertentangan dengan keputusan sebelum ini yang bersetuju mengadakan pemilihan semula bagi semua jawatan dalam parti.

Sementara itu Palanivel menempelak Subramaniam yang tergamak menjatuhkan maruah parti dengan bersetuju pihak luar mencampuri urusan dalaman MIC.

“BN tiada hak langsung untuk mengambil alih pentadbiran atau mengendalikan pemilihan parti yang jelas bertentangan dengan perlembagaan parti begitu juga Akta Pertubuhan 1966.

“Walaupun MIC adalah parti komponen BN, ia tetap parti politik yang mempunyai hak dan diurus tadbir mengikut perlembagaan, BN sepatutnya hormat dan tidak menceroboh pentadbiran parti seperti dicadangkan,” katanya.

Katanya lagi, pada sidang media Sabtu lalu beliau dengan jelas menyatakan ROS tiada kuasa di bawah peruntukan undang-undang mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula.

“Sekali lagi saya tegaskan ROS tiada kuasa mengarahkan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) 2009 bertindak sebagai CWC sementara,” katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 8:19 AM