MAZLAN menunjukkan alat penyembur racun serangga yang dirampas daripada suspek pada sidang media di IPD Seberang Perai Selatan (SPS), semalam.
Oleh Salman Hamat

Nibong Tebal: Helah sekumpulan penjenayah yang menyamar sebagai kakitangan sebuah syarikat kawalan serangga perosak berjaya memperdayakan puluhan pekerja warga asing menyebabkan kerugian lebih RM100,000 selepas suspek dikatakan mencuri barangan berharga dan wang tunai mangsa.

Bermodalkan alat penyembur asap dan pam racun serangga, suspek mengarahkan mangsa mengosongkan asrama mereka bagi memberi laluan kepada kerja semburan asap untuk membunuh nyamuk.

Sumber berkata, mereka menggunakan kesempatan itu menyelongkar asrama itu untuk mencuri barangan berharga milik mangsa termasuk gajet elektronik, telefon bimbit dan wang tunai.

Menurutnya, ada antara mangsa yang terpedaya dengan taktik suspek itu kerugian hampir RM1,000 selepas wang tunai disimpan di asrama dikebas kumpulan penjenayah berkenaan.

“Namun, selepas 51 kali menggunakan taktik sama memperdayakan mangsa di negeri ini, Kedah, Perak dan Negeri Sembilan, lima suspek berusia 19 hingga 27 tahun dicekup dalam serbuan dilakukan di Kamunting, Perak pada 8 Februari lalu.

“Suspek menjadikan asrama penginapan pekerja asing sebagai sasaran utama dan modus operandi digunakan ialah memperkenalkan diri sebagai kakitangan sebuah syarikat kawalan serangga perosak yang dihantar majikan pekerja terbabit untuk melakukan semburan asap dan kerja menghapuskan serangga perosak,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Datuk Mazlan Kesah berkata, selain menyamar sebagai kakitangan syarikat kawalan serangga perosak, suspek ada ketikanya turut memperkenalkan diri sebagai pegawai kesihatan, anggota polis dan pegawai imigresen.

“Bagi meyakinkan mangsa, suspek turut menunjukkan dokumen atau nota arahan tertentu kononnya diarahkan majikan pekerja terbabit untuk melakukan semburan asap atau kerja kawalan serangga perosak di premis yang dijadikan sasaran.

“Namun ada kalanya mereka ini bijak mengatur ayat dan mengaku sebagai penjawat awam untuk menakutkan mangsa terutama apabila pekerja asing terbabit enggan memberikan kerjasama atau membenarkan mereka masuk ke dalam premis terbabit,” katanya.

Mazlan berkata, suspek dilaporkan bertindak ganas dan dalam beberapa kes ia turut membabitkan kecederaan mangsa selain ada yang mendakwa turut diugut akan dicederakan menggunakan tukul besi.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, pihaknya tidak menolak kemungkinan penjenayah rentas negeri itu dipercayai aktif sejak Ogos tahun lalu dan terbabit dalam sekurang-kurangnya 19 kes di negeri ini manakala bakinya di tempat lain.

“Kami sudah mendapatkan perintah tahanan reman terhadap semua suspek berkenaan sehingga 18 Februari depan dan bagi melengkapkan kertas siasatan, kami akan bekerjasama dengan polis kontinjen di negeri berkenaan.

“Kerjasama ini penting berikutan suspek turut aktif melakukan jenayah berkenaan di beberapa negeri lain dan kami akan meneliti laporan dibuat mangsa sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Mazlan berkata, pihaknya mendapati seorang daripada suspek memang bekerja dengan sebuah syarikat kawalan serangga perosak dan membolehkan kumpulan itu menggunakan peralatan menghapus serangga bagi memperdayakan mangsa.

Beliau berkata, susulan penahanan lima lelaki terbabit, pihaknya sedang mengesan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas dikenali sebagai Mohd Nuzul Che Man, 25, beralamat di No 142A, Kampung Setia Jaya Kamunting, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 8:41 AM