KILANG roti di Kampung PPRT Tok Kuning terbakar.
Oleh Hafizudin Mohd Safar

Kangar: Seorang lelaki yang terlena akibat keletihan nyaris menemui ajal apabila berjaya menyelamatkan diri sebaik terdengar jeritan ketika kilang roti milik keluarganya dijilat api dalam kebakaran di Kampung PPRT Tok Kuning, Desa Permai, Bintong, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, Mohd Fateh Arrazi Mohd Fakhruddin Arrazi, 25, terlelap di ruang rehat di premis berkenaan selepas menyiapkan ratusan roti Arab dan kuih pau untuk dihantar ke pameran di Padang Besar yang dijadual bermula hari ini.

Mohd Fateh Arrazi berkata, kebiasaannya sebaik selesai bekerja dia akan keluar berjumpa rakannya, tetapi tiba-tiba tertidur di dalam kilang kerana begitu letih.

“Saya hanya terdengar jeritan penduduk memberitahu kilang terbakar dan melihat api sudah menjamah bahagian dinding dan bumbung kilang lalu berlari keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Ibunya, Noriyah Yahya, 47, bersyukur anaknya terselamat dan mengakui tidak menyedari dia tidur di dalam kilang berikutan enam lagi anaknya termasuk dirinya berkumpul untuk berehat di bangunan pejabat bersebelahan.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan penduduk lalu menghubungi bomba untuk bantuan.

“Saya reda dengan apa yang berlaku dan bersyukur kerana anak lelaki terselamat walaupun bekalan roti Arab dan kuih pau yang disediakan sejak beberapa hari lalu musnah,” katanya.

Pemilik kilang itu, Mohd Fakhruddin Arrazi Abdullah, 49, berkata, dia berada di Padang Besar untuk membuat persiapan tempat untuk pameran makanan yang bakal disertai ketika menerima panggilan mengenai kebakaran yang memusnahkan kilang mereka.

Menurutnya, dia menganggarkan kerugian mencecah RM100,000 apabila semua bekalan roti Arab, kuih pau dan stok pelbagai jenis makanan lain yang disimpan di kilang termasuk untuk dieksport ke luar negara selain mesin pembuat roti, mesin pembungkusan dan peti simpanan roti musnah dijilat api.

“Saya reda dengan kejadian yang berlaku kerana percaya ada hikmah di sebaliknya,” katanya yang mengusahakan kilang itu sejak lima tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kangar Zaharul Amin Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.02 malam sebelum tiga jentera dan satu lori tangki bersama 10 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, bomba mendapati sebuah bangunan dipercayai kilang memproses roti terbakar sebelum api berjaya dikawal kira-kira 10 minit kemudian.

Katanya, setakat ini, pihaknya masih menjalankan siasatan punca dan jumlah kerugian dialami mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:17 AM