X
AFKAR (kiri) bersama Nurliza (duduk kiri) serta anak sulung mereka Mikhayla (dipangku ibu mentua) menyambut Tahun Baru Cina di kediaman Bo Tah.
AFKAR (kiri) bersama Nurliza (duduk kiri) serta anak sulung mereka Mikhayla (dipangku ibu mentua) menyambut Tahun Baru Cina di kediaman Bo Tah.
Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: “Saya tidak berputus asa menawan hati ibu serta ahli keluarga selepas mengambil keputusan memeluk Islam dan Alhamdulillah dalam masa lima bulan, mereka dapat menerima saya dengan ikhlas.

“Ketika itu, saya berdoa dan reda. Kini bersyukur kerana berpeluang meraikan dua perayaan setiap tahun sejak memeluk Islam iaitu Tahun Baru Cina dan Aidilfitri,” kata Afkar Soo Abdullah, 30, kelmarin.

Afkar Soo yang juga anak keempat daripada sembilan beradik itu berkata, kelmarin ialah tahun kedua dia meraikan Tahun Baru Cina di kediaman ibu kandungnya, Goh Bo Tah, 60, di Taman Bukit Kempas di sini, selepas memeluk Islam pada 30 Jun 2012 ditemani isterinya, Nurliza Zainal, 29, dan ibu mentuanya.

Katanya, sambutan Tahun Baru Cina tahun ini lebih meriah berikutan kehadiran anak pertamanya, Mikhayla Soo Yuen, yang kini berusia dua bulan selepas dia dan Nurliza berkahwin pada 4 November 2012.

“Saya yang berketurunan Tionghua memahami kehendak keluarga supaya saya hadir ketika makan besar. Saya bersyukur kerana mereka memahami status saya Islam termasuk ketika penyediaan makanan, ibu memberi kebenaran kepada isteri untuk memasak serta menyediakan periuk serta pinggan berbeza bagi memastikan ia halal,” katanya yang tinggal di Bandar Baru Uda di sini.

Afkar Soo, pengusaha kebun sayur berkata, hubungannya dengan ibunya tidak terputus kerana Islam mengajar walaupun sudah memeluk Islam, ibu bapa tetap orang paling penting dalam hidup.

Menurutnya, dia juga memberi ibunya angpau serta membelikan makanan dan keperluan untuk menyambut Tahun Baru Cina.

“Sepanjang masa dua tahun ini, ibu juga menyenangi saya kerana saya berubah daripada seorang panas baran kepada penyabar,” katanya.

Sementara itu, Nurliza berkata, dia seronok dapat membantu suami dan ibu mentuanya membuat persiapan menyambut Tahun Baru Cina.

Menurutnya, dia juga seronok belajar beberapa perkataan dalam bahasa Cina bagi mengeratkan hubungan dengan ibu mentua selain masakan masyarakat Tionghua.

“Saya dan suami juga bercadang menghantar anak ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) pada masa depan selain memberi didikan agama Islam secukupnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:28 AM