Sitiawan: Seorang penuntut perempuan Universiti Kuala Lumpur Malaysian - Spanish Institute (UniKL MSI) Kulim, Kedah, maut manakala tujuh cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 7, Jalan Seri Manjung - Segari berhampiran Kawasan Perindustrian Kampung Acheh, di sini, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.25 petang itu, Nurul Atiqah Norshahidan, 19, yang juga penumpang hadapan kereta Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan itu, meninggal di tempat kejadian akibat cedera di kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dinaiki mangsa bersama dua yang lain dari arah Segari menuju Seri Manjung, hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah Proton Iswara dinaiki lima individu.

“Pemandu Perodua Myvi berusia 21 tahun, penumpang belakang 19 tahun dan pemandu Iswara berusia 37 tahun serta empat penumpangnya yang berusia antara 15 hingga 37 tahun, bagaimanapun hanya cedera ringan.

“Siasatan awal mendapati, kenderaan dinaiki mangsa yang maut itu dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan yang juga kawasan garisan berkembar dan bertembung dengan Proton Iswara berkenaan,” katanya di sini semalam.

Tengku Mohd Zailan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat, kira-kira jam 9 pagi semalam sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan.

Menurutnya, kejadian disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan di lokasi kejadian mendapati laluan berkenaan adalah selekoh dua hala dengan garisan berkembar.

Sementara itu, ahli keluarga dan rakan mangsa termasuk mereka yang terbabit dalam kemalangan itu ketika ditemui di Hospital Seri Manjung enggan memberi sebarang komen kerana masih terkejut dan trauma dengan kejadian itu.

Difahamkan, jenazah mangsa dibawa ke kampung halamannya di Taiping, dekat sini, sejurus selepas selesai dibedah siasat untuk urusan pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:31 AM