MOHD Roslan memantau harga barang kawalan di Pasar Awam Melaka Sentral.
Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Kompaun RM22,364 dikeluarkan kepada 177 pemborong dan peruncit di seluruh negara disebabkan kegagalan mematuhi Peraturan Pelaksanaan Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin berkata, sepanjang tempoh 14 hingga 20 Februari lalu, KPDNKK melakukan pemeriksaan ke atas 51,835 perniagaan borong dan runcit serta melakukan rampasan sebanyak RM10,905.84 atas pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan adalah gagal menggunakan tanda harga merah jambu yang ditetapkan khas untuk barangan kawalan perayaan Tahun Baru Cina,” katanya selepas melakukan pemantauan harga barangan di Pasar Awam Melaka Sentral, di sini, semalam.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, KPDNKK mengesan 157 kes kesalahan yang dilakukan peruncit dan dua oleh pemborong.

“Selangor mencatat kes tertinggi dengan 37 kes, Perak (33 kes), Kelantan (30 kes), Pulau Pinang dan Pahang (15 kes), Kedah dan Terengganu (12 kes), Kuala Lumpur (enam kes), Negeri Sembilan dan Johor (empat kes), Sarawak (tiga kes), Perlis (dua kes) serta Sabah dan Putrajaya masing-masing satu kes.

“Kebanyakan peruncit dan pemborong yang dikenakan kompaun itu melakukan kesalahan menjual harga telur ayam lebih tinggi dari harga siling,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:16 AM