Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Episod penahanan rakyat tempatan untuk menyertai gerakan ekstremis di beberapa negara Timur Tengah tidak akan berkesudahan melainkan kerajaan melakukan penambahbaikan daripada sudut perundangan berbentuk pencegahan.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA) Zamihan Mat Zin Al-Ghari berkata, undang-undang berbentuk pencegahan adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan perkara itu, sekali gus membanteras sebarang penularan ideologi radikal terutama berkaitan militan Negara Islam (IS).

“Kita lihat ada kelompongan undang-undang sedia ada termasuk Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Anggota militan ini belajar daripada kronologi undang-undang untuk melepaskan diri termasuk menyembunyikan fakta serta bukti.

“Oleh itu, sudah sampai masanya kerajaan wajar menggubal satu undang-undang pencegahan terutama membabitkan kegiatan militan dan ekstremis supaya ia dapat dibendung secara keseluruhannya,” katanya.

Zamihan berkata, penggubalan perundangan berbentuk pencegahan itu juga akan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk memulihkan pemikiran ekstremis dan menampung kelompongan undang-undang sedia ada.

Mengulas penahanan remaja perempuan berusia 14 tahun yang dikatakan merancang untuk menyertai militan IS, beliau berkata, penangkapan remaja itu membuktikan bahawa ancaman pemikiran ekstremis di negara ini semakin meningkat serta membimbangkan.

“Kaedah perkaderan (tarbiah) menerusi media sosial semakin menjadi-jadi sehingga menarik remaja perempuan yang berusia belasan tahun untuk berjihad. Tindakan secara drastik perlu diambil bagi membendung perkara ini daripada terus berleluasa.

“Saya mencadangkan bahawa saringan dalam kalangan guru agama wajib dilakukan untuk mengetahui pemikiran golongan pendidik. Kita tidak menuduh, namun ia langkah khusus kerana saya percaya ada segelintir guru yang menyebarkan ideologi ini,” katanya.

Awal minggu lalu, polis menahan remaja berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika dalam perjalanan ke Mesir dan dipercayai remaja itu ingin menyertai militan IS.

Dalam laporan itu menyatakan polis percaya bahawa gadis terbabit mahu meninggalkan negara menuju ke Mesir sebelum menyusup masuk ke Syria dan berjihad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:17 AM