Port Dickson: “Sepatutnya esok (hari ini), kami sekeluarga merancang mengadakan majlis sambutan hari jadi saya, tapi semuanya musnah apabila kediaman kami hangus dijilat api,” kata pegawai keselamatan, Mat Hadi Abd Rahman yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah teres setingkat miliknya di Taman Timah Jaya, Tanah Merah Site C, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.

Mat Hadi, 43, berkata, dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, dia, isteri dan lima anak sedang tidur.

“Kami kemudian dikejutkan dengan jeritan anak kedua, Mohd Azizi, 14, dan saya mendapati biliknya terbakar. “Saya segera mengarahkan isteri dan semua anak keluar menyelamatkan diri,” katanya yang ditemui semalam.

Menurutnya, dia menganggarkan kerugian ditanggungnya melebihi RM300,000 dan kini menumpang di rumah jiran buat seketika waktu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson Sabri Roslan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.43 pagi dan 15 anggota digerakkan ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba, pihaknya mendapati kebakaran bermula dari bilik belakang keluarga terbabit.

“Api akhirnya dapat dikawal 15 minit kemudian,” katanya.

Menurutnya, kediaman itu musnah hampir seratus peratus, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:18 AM