PEKERJA membasahkan diri bagi menyahtoksik bahan kimia pada badan selepas sebuah kilang pembuatan komponen barangan elektronik terbakar.
Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Pekerja sebuah kilang pembuatan komponen barangan elektronik di Taman Perindustrian Batu Berendam, di sini, semalam, cemas apabila makmal produksi terbakar sehingga mengakibatkan kebocoran gas sulfurik.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, kebakaran kecil dalam makmal produksi kilang terbabit dipercayai berpunca daripada litar pintas yang menyebabkan tiga paip menyalurkan gas Pottasium Silver Cyanide mengalami kebocoran.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Negeri (Bahagian Operasi) Kamarulzaman Mohd Din berkata, pasukan keselamatan kilang terlebih dulu melakukan kerja memadam sebelum pihaknya tiba.

“Kami menerima panggilan pada jam 8.16 pagi dan tiba di lokasi pada jam 8.22 pagi.

“Kebakaran berjaya dipadam pada jam 8.52 pagi, namun kami perlu melakukan kerja menyahtoksik air sebelum dibebaskan ke alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berjaya mengawal kebocoran gas.

“Kita bernasib baik kerana kebocoran gas tidak melebihi tahap bahaya. Selepas ruang udara seperti pintu makmal dibuka, bacaannya kini di tahap tidak membahayakan.

“Begitupun kita bernasib baik kerana berjaya mengelakkan kebocoran pada tong yang mengandungi asid yang boleh menghasilkan letupan,” katanya.

Kamarulzaman berkata, operasi menyelamat membabitkan 25 anggota bomba dan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Ayer Keroh serta Jalan Kubu.

Beliau berkata, insiden itu tidak membabitkan kecederaan dan semua 55 pekerja kilang ketika itu selamat.

“Anggaran kerugian dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:22 AM