MANGSA diusung ke dalam ambulans untuk mendapatkan rawatan.
Oleh Mohd Rizal Abdullah

Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga Algeria terpaksa menahan kesakitan selama tiga jam sebelum menerima bantuan selepas terjatuh dari kolam air terjun setinggi kira-kira lima meter di Hutan Lipur Kanching, dekat sini, petang semalam.

Sebelum kejadian pada jam 3.07 petang, mangsa berusia 24 tahun bersama kira-kira 20 rakannya dipercayai mandi di kolam air terjun yang terletak di atas bukit di kawasan hutan lipur itu.

Menurut sumber, mangsa dikatakan tergelincir sebelum terjatuh ke bahagian bawah air terjun dan mengalami kecederaan di bahu kanan serta kepala.

Ketua Operasi Balai Bomba Selayang Ismail Kamaruddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.36 petang dan enam anggota dikerahkan ke lokasi.

“Anggota bomba yang turut dibantu Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Wilayah Persekutuan mengambil masa lebih dua jam sebelum berjaya menurunkan mangsa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 6:30 AM