ABDUL Azeez (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail bersama waris keluarga mangsa MH17, semalam.
ABDUL Azeez (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail bersama waris keluarga mangsa MH17, semalam.

Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan sijil badal haji kepada 10 waris anak kapal yang terkorban dalam nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang ditembak jatuh ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, 17 Julai lalu.

Sepuluh anak kapal terbabit ialah Wan Amran Wan Hussin (kapten), Ahmad Hakimi Hanapi (pegawai pertama), Muhamad Firdaus Abdul Rahim (pegawai pertama), Mohd Ghafar Abu Bakar (penyelia penerbangan), Dora Shahila Kassim (ketua pramugari), Azrina Yaacob (ketua pramugari), Mastura Mustafa (pramugari kanan), Shaikh Mohd Noor Mahmood (pramugara) serta masing-masing pramugari, Hamfazlin Sham Mohamed Arifin dan Nur Shazana Mohamed Salleh.

Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya melaksanakan badal haji itu pada musim haji tahun lalu.

“Ini adalah usaha TH meringankan beban keluarga mangsa untuk melaksanakan ibadat ini.

“Selain itu, ia sebagai penghargaan atas kerjasama erat antara TH dan MAS dalam mengendalikan perjalanan jemaah haji ke Tanah Suci setiap tahun,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sijil Badal Haji, semalam.

Abdul Azeez berkata, pihaknya bersedia berbincang dan membantu waris keluarga penumpang MH17 yang lain sekiranya mereka mahu melaksanakan badal haji untuk mangsa nahas.

Sementara itu, Hanapi Mohd Noor, 67, iaitu bapa pembantu juruterbang, Allahyarham Ahmad Hakimi, 30, berkata, dia masih terkenangkan anak lelaki tunggalnya itu walaupun reda menerima ketentuan takdir.

“Kenangan tidak akan luput terutama arwah adalah satu-satunya anak lelaki yang rapat dengan keluarga.

“Kehilangan tetap kehilangan dan kesedihan tidak dapat dihapuskan, tetapi kita bersyukur dan bertawakal kepada Allah. Kita yakin dengan janji Allah,” katanya.

Fatimah Ibrahim, 65, ibu kepada pegawai pertama, Muhamad Firdaus Abdul Rahim berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan dalam melaksanakan ibadat berkenaan.

“Walaupun lebih tujuh bulan berlalu, namun saya tidak dapat menahan kesedihan setiap kali nama anak disebut,” katanya.

Adik Kapten Wan Amran Wan Hussin, Wan Ahmad Khairul, 45, berkata, ahli keluarganya gembira apabila TH melaksanakan upah haji untuk abangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 8:40 AM