Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Lima anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, petang kelmarin.

Penahanan terhadap lima anggota berusia lingkungan 30-an itu dilakukan selepas mereka dipercayai menerima suapan berbentuk telefon bimbit supaya tidak mengambil tindakan terhadap kes penyeludupan kereta.

Sumber berkata, mereka ditahan di pejabat JKDM Seremban 2, di sini, kira-kira jam 5.30 petang selepas intipan pihaknya mendapati setiap seorang menerima telefon bimbit jenama Samsung.

Katanya, penahanan itu dibuat sejurus seorang lelaki membuat aduan mengenai tindakan semua anggota terbabit yang meminta suapan bagi memastikan penguatkuasaan tidak dikenakan terhadapnya.

“Kelima-lima anggota JKDM negeri itu dipercayai meminta telefon bimbit daripada lelaki terbabit atas kesalahan membawa masuk kereta Honda Odyssey bernilai lebih RM80,000 tanpa membayar cukai,” katanya.

Menurutnya, mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 4 Mac depan selain turut merampas kereta berkenaan bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 8:00 AM