PENDUDUK mengalami kegatalan disebabkan serangan ulat bulu.
Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Serangan ribuan ulat bulu yang bersarang di pokok ara sejak seminggu lalu menyebabkan penghuni di lima rumah di Kampung Sepakat Baru di Skudai di sini, yang mengalami kegatalan dan alahan, terpaksa berpindah dari rumah masing-masing serta terpaksa menginap di kediaman kenalan berhampiran.

Seorang penduduk, Mohd Salleh Osman, 60, berkata, keluarganya dan jiran dilanda kegelisahan disebabkan serangan serangga yang kali pertama berlaku di kampung mereka.

Menurutnya, kehadiran ulat bulu mula dikesan apabila beberapa serangga berkenaan ditemui di lantai rumahnya yang terletak berhampiran pokok itu.

Katanya, kewujudan ulat berkenaan semakin bertambah dan banyak yang merayap di rumahnya serta di pakaian yang dijemur di luar rumah penduduk mulai jam 7 petang hingga 9 pagi.

“Beberapa ahli keluarga saya terpaksa mendapatkan rawatan di klinik kerana gatal dan miang dipercayai selepas tersentuh ulat bulu itu.

“Kami cuba menyembur semburan racun serangga, tetapi peliknya hingga kini ia semakin membiak dan menyebabkan kami terpaksa berpindah sejak empat hari lalu.

“Kini saya dan ahli keluarga tinggal di kediaman saudara di Skudai buat sementara. Begitu juga dengan beberapa jiran saya yang masing-masing terpaksa tinggal di tempat lain bagi mengelakkan serangan ulat bulu berkenaan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKP) Kampung Sepakat Baru, Azmi Basiran, 45, berkata, serangan ulat bulu menyebabkan segelintir penduduk terpaksa menutup tingkap sepanjang hari bagi mengelakkannya memasuki rumah.

Menurutnya, keadaan lebih buruk pada waktu malam kerana ia merayap di atas tilam menyebabkan penduduk diserang gatal dan miang.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Prihatin Kempas, Salim Daud berkata, pihaknya berharap Jabatan Kesihatan dapat tampil menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di kampung berkenaan dengan secepat mungkin.

“Mungkin pokok berkenaan perlu ditebang atau disembur dengan racun serangga. Penduduk ada menggunakan semburan racun serangga namun ia didapati kurang berkesan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 8:03 AM