HASAN (dua dari kanan) melihat tanda harga  barangan dijual  di pasar raya The Store di  Kuantan Parade, semalam.
HASAN (dua dari kanan) melihat tanda harga barangan dijual di pasar raya The Store di Kuantan Parade, semalam.
Oleh Syazwan Msar

Kuantan: Kempen Penurunan Harga 2015 peringkat Kebangsaan tetap dilaksanakan mulai semalam meskipun berlaku kenaikan harga petrol dan diesel, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek.

Beliau berkata, harga petrol bukan faktor tunggal menentukan naik atau turun harga barangan kerana ia turut dipengaruhi faktor lain seperti ketidaktentuan cuaca, bencana alam, peningkatan kos sewa beli dan persekitaran ekonomi.

“Kenaikan harga barang berlaku di mana-mana di dunia,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen itu di pasar raya The Store di pusat beli-belah Kuantan Parade di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan Pahang, Datuk Seri Shahiruddin Abd Moin dan Pengurus Besar Kanan Operasi Kumpulan The Store, Winky Pek.

Hasan berkata, pihaknya juga mengambil pelbagai inisiatif seperti mengadakan pertemuan dengan pengilang, pemborong, pembekal, peniaga dan persatuan dalam mencari jalan menurunkan harga barang.

Mulai semalam, harga petrol dan diesel naik 25 sen seliter menjadikan harga runcit baharu bagi petrol RON95 kepada RM1.95 seliter, RON97 RM2.25 seliter dan diesel RM1.95 seliter.

Mengulas berhubung kempen itu, Hasan berkata, ia bertujuan menggalakkan pembekal, pemilik kedai runcit, pasar raya dan syarikat untuk menurunkan harga produk, sekali gus meringankan beban pengguna.

Beliau berkata, ia membabitkan lebih 1,000 cawangan milik 16 pasar raya besar di seluruh negara dengan 82,000 produk ditawarkan pada potongan harga antara 10 dan 70 peratus.

Pihaknya turut memberi jaminan kualiti produk ditawarkan dalam kempen berkenaan.

Dalam pada itu, Hasan berkata, kementeriannya akan mempertingkat kemudahan aduan melalui pembangunan aplikasi telefon pintar ‘ez complaint’ dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Katanya, aplikasi itu akan membolehkan pengguna menyalurkan aduan dalam bentuk bergambar sebagai bukti salah laku peniaga melalui telefon masing-masing terus ke dalam sistem e-aduan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 8:14 AM