KEADAAN kereta mangsa selepas kemalangan.

Kuala Lumpur: Seorang wanita maut selepas Perodua Myvi dipandunya merempuh tembok pembahagi jalan di Kilometer 16.6, Lebuhraya Baru Pantai (NPE), semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, mangsa, Cheah Pei Yung, 25, yang tinggal di Kondominium Bukit Gembira, Taman Gembira, di sini, disahkan maut di lokasi kejadian akibat tersepit di tempat duduk.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan berkata, mangsa parah di badan dan kaki.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu bersendirian gagal mengawal kenderaan sebaik tiba di persimpangan antara susur masuk ke Jalan Kuchai Lama dan Seremban.

“Kereta mangsa kemudiannya merempuh pembahagi jalan di susur itu menyebabkan kenderaannya remuk di bahagian depan,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, akibat rempuhan itu mangsa dilaporkan tersepit di tempat duduk dan meninggal di lokasi kejadian.

“Mangsa parah di badan dan kaki. Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 8:51 AM