Melaka: Wanita yang ditinggalkan suami digantung tidak bertali sejak lebih 14 tahun lalu lega selepas Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) negeri Melaka berusaha membantu menyelesaikan masalah dihadapinya.

Ibu tunggal terbabit yang juga bekas pemandu teksi Wan Noorasyikin Wan Cik dan anaknya Haqeem Mikhail Abdullah, 15, menghadapi kesempitan hidup selepas ditinggalkan suami warga Turki ditemui Pembela BN di Melaka, semalam.

Penderitaan Wan Noorasyikin tersiar di Harian Metro kelmarin yang digantung tidak bertali selain tidak mampu menanggung pembelajaran anaknya akibat masalah kewangan selain tidak memiliki pekerjaan tetap dan tiada rumah kediaman mendapat perhatian Pembela BN.

Noorasyikin berkata, dia amat terharu dikunjungi Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah yang berusaha memastikan Haqeem bersekolah dan menerima bantuan sewajarnya.

Katanya, dia hanya mahukan anaknya kembali bersekolah dan dapat tinggal di asrama supaya mendapat pelajaran yang sempurna.

Menurutnya, sejak tidak bersekolah awal Januari lalu, Haqeem bekerja mencuci kereta dengan gaji RM15 sehari dan tinggal dengan pengusaha berkenaan.

“Saya amat sedih dengan situasi ini. Apa yang boleh saya lakukan dengan kesihatan yang tidak menentu termasuk sering dimasukkan ke hospital akibat asma dan disyaki paru-paru berair.

“Saya amat terharu usaha Harian Metro memaparkan kisah hidup kami berdua sehingga mendapat perhatian Pembela BN,” katanya.

Pembela juga akan melantik peguam bagi memastikan isu gantung tidak bertali yang dilalui selama ini juga akan berjaya diselesaikan.

Amir berkata, Pembela akan membantu mendapatkan semula kad pengenalan Haqeem yang hilang dan memastikan pelajar berkenaan kembali ke sekolah dan menduduki asrama.

Katanya, dia juga akan berusaha untuk mendapat saluran pembiayaan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk bantuan membeli teksi selain deposit membeli rumah daripada agensi berkaitan.

“Kami menawarkan pekerjaan sebagai tukang masak di hotel milik agensi kerajaan di Melaka berikutan pengalamannya sebagai pekerja restoran dalam dan luar negara termasuk di Wales, England dan Cardiff.

“Namun wanita berkenaan menolak berikutan mahu bekerja sebagai pemandu teksi. Justeru, kami akan berusaha mendapatkan teksi dan permit bagi membolehkan bekerja sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 9:05 AM