X

Kuala Krai: Seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan kejam seorang suri rumah dalam kejadian samun di Kampung Batu Papan, Gua Musang, awal pagi semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, lelaki itu ditahan di rumah keluarganya yang di kampung yang sama dengan mangsa.

“Kami giat memburu seorang lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu dan yakin kes dapat diselesaikan dalam masa terdekat, sejurus tangkapan dibuat.

“Sebilah parang disyaki digunakan untuk mengelar mangsa turut ditemui,” katanya pada sidang media dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Banjir di Perumahan Polis Sungai Durian, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi, mangsa berusia 26 tahun yang juga isteri anggota sukarelawan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang dipercayai dikelar di leher oleh suspek yang memecah masuk rumah sewanya.

Mangsa bertindak keluar dari rumah untuk mendapatkan bantuan sebelum ditemui suami dalam jarak 100 meter dari rumahnya.

Bagaimanapun, tiga anak mangsa berusia lima bulan, lima tahun dan enam tahun yang tidur dalam bilik berasingan tidak dicederakan meskipun ada kesan darah mangsa pada baju seorang daripada tiga anaknya, dipercayai ketika kanak-kanak itu memeluk ibunya yang cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 9:28 AM