Seremban: Seorang pengawal keselamatan didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, terhadap tuduhan menghalang seorang anggota polis menjalankan tugas pada bulan lalu.

Hukuman itu ditetapkan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak selepas tertuduh Jamal Tarip, 32, mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu, Konstabel Muhammad Syafiq Shahudin, 26, bersama dua rakan setugas dari Unit Ronda Bermotosikal, Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai menerima maklumat seorang lelaki (tertuduh) mengamuk di Flat Taman Semarak, Nilai, dekat sini, jam 10.30 malam, pada 4 Februari lalu.

Apabila pengadu tiba di hadapan rumah itu tertuduh mengacukan pisau dan memaki hamun serta mengeluarkan kata-kata kesat.

Tertuduh juga enggan bekerjasama apabila diminta membuka jeriji pintu rumah menyebabkan pengadu menghubungi pegawai polis yang kemudian tiba dan menyuruh mengumpil jeriji sebelum menahan tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 8:00 AM