ANGGOTA polis menahan dua suspek.
ANGGOTA polis menahan dua suspek.

Georgetown: Dua lelaki tempatan yang menyamar sebagai polis dikesan aktif melakukan beberapa kes ugut dengan meminta wang ‘tebusan’ daripada sekumpulan warga Myanmar.

Malah, mereka turut bersekongkol dengan seorang lelaki warga Myanmar yang bertindak sebagai ‘peninjau’ dengan mengesan rakan senegaranya untuk dijadikan umpan bagi mendapatkan wang dengan mengugut mangsa.

Namun, perbuatan itu berakhir malam kelmarin apabila seorang mangsa yang dibelasah suspek berjaya melarikan diri sebelum perbuatan itu dilihat orang awam yang kemudian membantunya dan menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam kejadian jam 10 malam itu, tiga suspek berkenaan pada mulanya menghubungi mangsa dan memberitahu mereka adalah anggota polis yang menahan dua rakannya.

Beliau berkata, suspek memberitahu mangsa perlu menyerahkan RM2,000 sekiranya mahu rakannya dibebaskan dan mereka mengatur pertemuan berhampiran Jeti Pengkalan Raja Tun Uda, Jalan Pengkalan Weld, di sini.

“Mangsa kemudiannya pergi ke lokasi terbabit dan bertemu dengan suspek sebelum dia diminta menunjukkan dokumen pengenalan diri.

“Mangsa yang ketakutan mengeluarkan dompetnya, namun ketika itu suspek terus merampas wang RM1,300 yang disimpan dalam dompet lelaki terbabit,” katanya, semalam.

Mior Faridalathrash berkata, suspek cuba mengheret mangsa masuk ke dalam kereta, namun lelaki terbabit enggan menurut arahan menyebabkan dia dipukul.

“Bagaimanapun, suspek yang cedera diselamatkan orang awam dan mereka menghubungi polis,” katanya.

Menurutnya, susulan itu, polis mengesan kereta dinaiki suspek dan mengejar hampir dua kilometer sebelum memberkas mereka di persimpangan lampu isyarat di Jalan Maccalum, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 8:25 AM