FARAH menerima sijil dan plak penghargaan STPM 2014 pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2014 di Selayang, semalam.

Kuala Lumpur: Status sebagai orang kurang upaya (OKU) tidak menghalang seorang calon autisme Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014 Farah Raihanah Atan, 19, untuk mencatat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan itu apabila berjaya mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.50 selepas keputusan itu diumumkan semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim, Kulai, Johor itu berkata, walaupun dia berdepan kesukaran untuk mengingati pelajaran dan fakta dalam kelas khususnya dalam subjek Pengajian Am, namun dia tetap nekad meneruskan pengajian.

Katanya, dia tidak terlalu memaksa diri untuk mengulang kaji pelajaran dan akan mengambil masa untuk berehat sekiranya waktu ulang kaji memberi tekanan kepada dirinya.

“Saya hanya mengulang kaji antara 15 hingga 30 minit sehari dan jika terlalu stress saya akan rehatkan diri sebelum sambung mengulang kaji.

“Sebagai penghidap autisme, kami sentiasa dalam dunia sendiri dan saya bermasalah untuk mengingati fakta dalam subjek Pengajian Am. Namun, apa yang penting saya cuba beri fokus dalam kelas dan jika tidak jelas mengenai sesuatu perkara, saya rajin bertanya kepada guru dan rakan sekelas ramai membantu,” katanya.

Farah Raihanah bersama tiga lagi calon lagi diumumkan sebagai Calon Terbaik STPM 2014 (Kategori Calon Istimewa) selepas keputusan diumumkan di Majlis Peperiksaan Malaysia, di sini, semalam.

Tiga calon terbaik lain ialah Kaveinthran Pulanthran dari SMK St John, Kuala Lumpur, Mohamad Asri Arshad dan Mohamad Firdaus Ngatiman yang kedua-duanya dari Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.

Manakala seorang Calon Terbaik STPM 2014 (Kategori Luar Bandar), Siti Norfariha Juhari, 19, berkata, dia tidak pernah meletakkan harapan tinggi dan begitu gembira apabila berjaya mendapat 4A 1B dalam peperiksaan itu.

Katanya, dia mengakui format baru dalam peperiksaan STPM yang bermula sejak 2013 agak mencabar terutama dalam kerja kursus.

“Bagaimanapun, guru sentiasa memberi galakan supaya tidak berhenti tingkatan enam separuh jalan walaupun ada di antara pelajar lain berbuat demikian kerana menganggap format baru yang mempunyai kerja kursus ini agak mencabar.

“Saya sebelum ini memang berhasrat untuk meneruskan pelajaran di tingkatan enam kerana ia adalah platform terbaik untuk ke IPTA bagi membolehkan cita-cita menjadi seorang guru atau pensyarah tercapai,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 8:59 AM