Hasan (dua dari kanan) beramah mesra dengan penerima anugerah pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014.
Hasan (dua dari kanan) beramah mesra dengan penerima anugerah pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014.
Oleh Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur: Lebih banyak pasar raya ditambah untuk menyertai Kempen Penurunan Harga 2015 bagi membolehkan orang ramai menikmati pengurangan antara 10 hingga 70 peratus seterusnya mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek berkata, pihaknya akan memastikan lebih banyak pemilik pasar raya mengikuti kempen yang menawarkan pengurangan terhadap 82,000 barangan keperluan harian.

“Akan ada lebih ramai menyertai kempen ini. Kementerian akan memanggil syarikat pengeluar untuk berdialog dan mencari jalan supaya mereka boleh turut serta dalam kempen ini.

“Tetapi tiada paksaan untuk peniaga menyertai kempen ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MyIPO, di Akademi Harta Intelek, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalannya Datuk Seri Ahmah Bashah Md Hanipah, Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad dan Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Datuk Abdul Manan Ismail.

Kempen Penurunan Harga yang bermula Ahad lalu mendapat penyertaan daripada 16 pasar raya besar dan membabitkan lebih 1,000 cawangan di seluruh negara menyertai kempen yang dijadualkan antara sebulan hingga empat bulan.

Kempen bermula serentak di seluruh negara menawarkan pelbagai barangan pada harga lebih murah antaranya ayam, daging, beras, susu, sardin, susu tepung, milo, makanan sejuk beku, pakaian, perkakasan elektrik, lampin bayi serta pakaian sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 9:24 AM