MOHD Shafie berucap pada majlis perasmian sambutan Hari MARA ke-49, semalam.

Kuala Lumpur: Usahawan Bumiputera perlu mengubah cara berfikir dan berani menguasai industri bertaraf global untuk memperkasa kedudukan kaum Melayu di negara ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Bumiputera hari ini bukan saja mampu menerokai industri kecil sederhana (IKS) tapi sebenarnya berkeupayaan untuk memiliki dan meneraju sektor utama termasuk minyak, telekomunikasi, marin serta aeroangkasa.

“Melihat senario orang kita (Bumiputera), ramai berkecimpung dalam industri perkilangan yang memonopoli eksport ke luar negara.

“Malangnya, pembabitan mereka sekadar ahli lembaga pengarah yang berperanan sebagai penghubung kejayaan, bukan pihak berkepentingan atau pemilik sepenuhnya,” katanya.

Jelas Mohd Shafie perubahan besar perlu dibuat untuk menghentikan sikap bergantung usahawan Bumiputera terhadap inisiatif kerajaan.

“Kita mahu kaum Bumiputera di negara ini mempunyai pemikiran yang jelas untuk berdepan cabaran mendatang. Kalau bangsa Melayu hanya berpegang dan berpaut, maka hak ekonomi dan kedudukan kita akan terbatas setakat 30 peratus saja.

“Namun sekiranya usahawan Melayu berani meneroka perniagaan bertaraf global berdasarkan keupayaan dan kebolehan mereka, kita yakin ia boleh menjangkau peratusan berkenaan,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari MARA ke-49 di sini, semalam.

Menurut beliau, walaupun kerajaan sudah menawarkan pelbagai program tajaan, insentif dan galakan untuk membantu memacu ekonomi Bumiputera, namun masih banyak keluhan terdengar di kampung.

“Kalau menyebut usahawan Melayu, ramai berbangga dengan pencapaian industri IKS. Namun hakikatnya, mereka mampu melangkah lebih jauh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 9:44 AM