ANTARA kenderaan yang terbabit kemalangan.

Alor Gajah: Seorang wanita warga emas berdepan detik mencemaskan selepas kenderaan dinaiki bersama anak dan cucunya terbabit kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Simpang Ampat, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, Proton Wira dipandu Mohd Said Dollah, 55, dari Pulau Sebang dirempuh sebuah kereta Nissan Cefiro dipandu seorang lelaki berusia awal 40-an dari arah Taboh Naning.

Akibat rempuhan itu, kereta Mohd Said berpusing beberapa kali dan Nissan Cefiro terbabit merempuh pula lori satu tan dipandu seorang lelaki awal 30-an dari arah Alor Gajah.

Mohd Said berkata, ketika kejadian, dia bersama ibu Saelah Baba, 89, dan anaknya Mohd Firdaus, 28, dari arah Pulau Sebang dalam perjalanan balik ke rumahnya di Kampung Sungai Jernih, Lubok Cina sebelum kemalangan.

“Selepas selesai urusan keluarga di Tampin, kami bergerak pulang ke rumah, namun setibanya di persimpangan lampu isyarat itu, saya dapati lampu bertukar hijau lalu meneruskan perjalanan.

“Malangnya tiba-tiba sebuah kenderaan dari arah sebelah kanan merempuh kereta saya menyebabkannya berpusing beberapa kali sebelum terhenti menyebabkan ibu dan anak tersungkur dalam kenderaan.

“Saya keluar dari kenderaan dan melihat pemandu Nissan Cefiro itu masih berada dalam keretanya yang melekat pada sebuah lori,” katanya.

Menurutnya, dia mengeluarkan ibunya yang hampir pitam di kerusi belakang sebelum dibantu orang ramai yang menyedari kemalangan.

Mohd Said bersyukur kerana ibu dan anak lelakinya selamat.

“Pemandu kereta Nissan Cefiro yang cedera ringan di dahi dan dagu memohon maaf sejurus kemalangan dan lega kerana tiada mangsa lain cedera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 10:51 AM