KEADAAN motosikal warga emas yang maut dalam kemalangan.
Oleh Kamal Majid

Jeli: Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan di Kampung Berdang, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa, Sulaiman Botok, 78, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Cucunya, Zuliana Ibrahim, 29, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah di Kampung Reka, Kuala Balah, sebelum menerima panggilan telefon daripada rakannya memaklumkan mengenai kejadian itu.

“Sebaik menerima panggilan itu saya terus menghubungi bapa saya yang berada di Gua Musang kerana bekerja di sana untuk memaklumkan kejadian terbabit.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah kira-kira tiga minggu lalu di pasar minggu di Jeli. Dalam pertemuan itu arwah tidak banyak bercakap hanya mengatakan hidupnya tidak panjang memandangkan umur yang semakin meningkat serta menghidap beberapa jenis penyakit,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Jeli, semalam.

Katanya, sebelum kejadian arwah dikatakan mengidam ingin makan masakan ikan patin.

“Ibu saudara saya, Esah Setapa, 48, memasak makanan terbabit untuk arwah bagi menunaikan hajatnya.

“Arwah juga didapati tidak pulang ke rumah semalam selepas ibu saudara ke rumah mangsa di Kampung Bukit Jering, Kuala Balah dipercayai tidur di rumah rakannya di kampung sama sebelum dia keluar bersama ke bandar Jeli, semalam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Mohd Yusuf Mohd Nor berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Bukit Jering dengan membonceng motosikal Honda EX5 bersama rakannya.

Katanya, ketika sampai di tempat kejadian motosikal mangsa didapati bergoyang sebelum mangsa terjatuh sebelum dilanggar lori yang sarat dengan muatan batu.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di bahagian bawah pinggang sebelum mayatnya dibawa ke bilik mayat Hospital Jeli,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 8:27 AM