Ampang: Seorang bomoh warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam, atas tuduhan mencabul kehormatan dua wanita tempatan masing-masing berusia 59 tahun dan 29 tahun, Februari lalu.

Rifdi Misdi, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zulyana Zolkapli.

Berdasarkan pertuduhan, Rifdi didakwa menggunakan kekerasan dengan niat mencabul kehormatan terhadap dua wanita di sebuah rumah di Jalan Seladang, Hulu Langat, jam 11.30 malam, 19 Februari lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya.

Pendakwaan dijalankan Inspektor Fauziah Hanim Abuhan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 4 April ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Fauziah Hanim Abuhan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 8:36 AM