PERODUA Myvi dinaiki mangsa terbalik.
Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Beluran: Hasrat seorang suami membawa pulang isteri dan bayi perempuan mereka berusia lima hari selepas dibenarkan keluar dari wad bersalin Hospital Beluran tidak kesampaian apabila ketiga-tiga mereka termasuk seorang wanita maut apabila kenderaan dinaiki bertembung pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 59, Jalan Beluran-Telupid, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.15 petang, pemandu, Ridzuan Basnu, 30, dan isterinya, Noorlilah Masli,25, disahkan mati di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ibu Noorlilah, Gaya Gudang, 50, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Beluran sementara bayi berusia lima hari maut jam 8.45 malam, hari sama selepas dirujuk ke Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan.

Sementara salah seorang penumpang yang juga adik kepada Noorlilah, Mohamad Hazawan Masli, 16, parah di kepala dan berada dalam keadaan kritikal.

Pemandu pacuan empat roda, Dafirin Motiun, 30, dan seorang gadis dipercayai tunangnya, Mardiana Kamar, 25, hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Beluran.

Menurut Ketua Polis Daerah Superintendan V Sivanathan, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang datang dari Telupid menuju ke arah Sandakan dipercayai hilang kawalan akibat jalan licin berikutan hujan ketika kejadian.

“Pada masa sama, kereta Perodua Myvi dinaiki lima sekeluarga itu datang dari arah bertentangan gagal mengelak lalu kedua-dua mereka bertembung.

“Pertembungan ini menyebabkan pasangan suami isteri tersepit dan mati di tempat kejadian manakala seorang wanita dan bayi masih belum memiliki nama disahkan maut di hospital,” katanya.

Sivanathan berkata, bayi perempuan itu adalah anak kedua kepada pasangan suami isteri terbabit.

“Kedua-dua kenderaan remuk termasuk Perodua Myvi yang terbalik dan terhumban ke kiri jalan.

“Mangsa yang maut di tempat kejadian dihantar ke Hospital Beluran untuk dibedah siasat,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 9:34 AM