NAJIB bersama Idris (kiri) dan Hasan (kanan) menikmati minuman di Gloria Jean's Coffees selepas merasmikan Menara PNS, semalam.
Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Negara memerlukan lebih ramai usahawan yang mempunyai kriteria sebagai pereka cipta dalam memacu pertumbuhan ekonomi sejajar objektif kerajaan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, individu yang mempunyai kriteria pereka cipta bukan saja diperlukan dalam bidang sains teknologi, malah untuk pembangunan sosial.

“Ini seiring dengan usaha kerajaan dalam memajukan industri francais di negara ini supaya sektor itu turut berperanan dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara.

“Dalam menjayakan usaha itu, kita memerlukan usahawan yang mempunyai budaya berfikir bukan saja hendak mencari kerja, tetapi mencipta dan memberi peluang kepada individu lain,” katanya ketika memberi ucapan perasmian Menara Perbadanan Nasional Berhad (PNS), di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek, Timbalan Menteri KPDNKK Datuk Seri Ahmah Bashah Md Hanipah dan Pengerusi PNS Datuk Idris Hashim.

Najib turut menasihatkan usahawan supaya tidak terlalu bergantung kepada pembiayaan kerajaan, sebaliknya berusaha sendiri dalam mencapai kejayaan.

“Kita lihat usahawan yang tidak terlalu bergantung dengan insentif kerajaan cenderung untuk lebih berjaya berbanding mereka yang mengharapkan bantuan kita (kerajaan).

“Ini anehnya, bila kita menggunakan wang kita sendiri, bukan daripada pembiayaan kerajaan atau agensi lain, kita pasti berusaha lebih gigih lagi supaya setiap apa yang dibelanjakan tidak rugi,” katanya.

Selain itu, katanya, PNS juga perlu terus memainkan peranan penting dalam menjadi pemangkin kepada pembangunan industri francais serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2015 @ 5:23 AM