MOHD Razahan dan Norlia Akmar Hamid yang hilang bersama pesawat penerbangan MH370.

Putrajaya: “Sampai akhir hayat, mak tetap akan tunggu kau balik. Jika usia mak masih panjang, kita akan bertemu, tetapi sekiranya kau balik dan mak sudah tiada, kau jenguklah pusara mak.”

Itu antara luahan hati Kamariah Sharif, 56, setiap kali dia teringat dan merindui anaknya, Mohd Razahan Zamani, 24, seorang daripada penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang 8 Mac tahun lalu.

Mohd Razahan berlepas ke Beijing, China menaiki pesawat itu bersama isterinya, Norlia Akmar Hamid, 34, untuk berbulan madu di negara berkenaan.

Kamariah berkata, dia tidak pernah sesekali melupakan anak sulungnya itu, malah setiap hari dan setiap saat dia mengharapkan Mohd Razahan dan menantunya pulang ke rumah dengan selamat.

“Boleh dikatakan setiap hari termasuk sebelum tidur, mak cik pegang baju kerja dia, cium beberapa kali sambil menangis kerana terlalu rindu dan teringat pada dia.

“Malah, kerana mahu melepaskan rindu, mak cik pegang gambar Mohd Razahan tenung lama-lama dan bercakap dengan gambar seolah-olah dia mendengar suara mak cik,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Bukan itu saja, Kamariah berkata, kerana terlalu rindu dia juga melihat ke awan dan mengharapkan anak serta menantunya pulang ke rumah kerana seluruh keluarga merindui mereka.

“Ketika melihat ke awan, mak cik bertanya ke mana mereka pergi. Mak cik merayu mereka pulang dan tidak putus-putus doa mak cik untuk kesejahteraan mereka.

“Selepas menunaikan solat, mak cik akan menangis dan berdoa untuk mereka. Mak cik mengharapkan bantuan dan pertolongan Allah supaya menunjukkan di mana mereka kerana Tuhan saja yang tahu.

“Fikiran mak cik terganggu, hidup tidak tenteram kerana terlampau sedih. Ini satu tekanan terlalu hebat yang perlu mak cik sekeluarga hadapi,”katanya dengan nada sebak.

Menurutnya, kematian ibunya iaitu nenek Mohd Razahan beberapa bulan selepas kejadian itu turut memberi tamparan hebat kepada suri rumah itu kerana kehilangan seorang lagi orang tersayang pada masa sama.

“Ibu mak cik terlalu rindukan Mohd Razahan selepas tragedi menimpa pesawat MH370. Bagaimanapun, dia tidak sempat bertemu cucunya.

“Bagi mak cik, tahun 2014 adalah saat paling sedih dan sukar mak cik hadapi kerana kehilangan anak dan menantu menaiki pesawat itu selain kematian ibu pada tahun sama,”katanya.

Mengikut naluri hatinya, Kamariah berkata, dia percaya anak dan menantunya masih hidup cuma tidak diketahui tempat di mana mereka berada.

“Setiap kali mak cik makan, pasti terfikir apakah makanan yang mereka makan. Jika mak cik ke kedai, mak cik terus teringat Mohd Razahan kerana dia sering membawa mak cik menaiki motosikal untuk ke kedai.

“Mak cik memang sangat rapat dengannya kerana ke mana saja mak cik pergi, dia yang akan membawa mak cik. Sampaikan jika mak cik berseorangan di rumah, mak cik menangis sendirian teringatkannya,”katanya.

Biarpun reda dan menerima ketentuan takdir ke atas keluarganya, Kamariah berkata, dia sekeluarga tetap tidak akan putus asa dan berdoa mengharapkan petunjuk daripada Allah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:10 AM