Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan pihaknya menahan seorang pelakon wanita berusia 33 tahun bersama teman lelakinya kerana disyaki berkhalwat awal pagi semalam.

Pengarah JAIS Datuk Haris Kasim berkata, pasangan itu ditahan kira-kira jam 4 pagi di sebuah rumah di Subang Mewah, Subang Jaya selepas pihaknya menerima maklumat awam.

“Pelakon terbabit bersama pasangannya ditahan mengikut Seksyen 29(1)a&b Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995,” katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada Metro Ahad, di sini, semalam.

Kenyataan itu menjadikan pelakon wanita yang terkenal dengan filem bergenre seram terbabit ditahan kali kedua selepas kali pertama ditahan di sebuah kondominium di Ukay Perdana, Disember tahun lalu.

Pelakon wanita itu berstatus janda tiga anak manakala teman lelakinya yang bukan artis pula dikatakan dalam proses perceraian bersama isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:16 AM