DR Mohd Asri (kanan) dan Ustaz Kazim.
DR Mohd Asri (kanan) dan Ustaz Kazim.
Oleh Hairulazim Mahmud dan Shamsul Munir Safini

Kangar: Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan penceramah bebas Datuk Mohd Kazim Elias bakal tampil bersama-sama di pentas forum yang dijangka disiarkan melalui saluran televisyen AlHijrah

“Forum itu akan diadakan dalam masa terdekat, mungkin Selasa ini (esok),” kata Dr Mohd Asri selepas mengadakan pertemuan dengan Mohd Kazim atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Kazim di sebuah kafe, di sini, malam tadi.

Menurutnya, forum itu akan menyaksikan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) Datuk Dr Asyraf Wajdi bertindak sebagai moderator.

Mohd Asri berkata, keputusan mengadakan forum itu dibuat bagi memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai polemik yang wujud di antara dia dan Ustaz Kazim.

Ustaz Kazim pula berkata, pertemuan serta perbincangan malam tadi memberi contoh kepada masyarakat Islam bahawa walaupun berbeza pendapat, umat Islam tidak seharusnya berpecah belah.

“Perbincangan yang dilakukan dalam suasana harmoni itu mencerminkan Islam itu sendiri dan segala salah faham diselesaikan di meja perbincangan,” katanya pada sidang media selepas pertemuan itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 7:45 AM