ZULKIFLI (tiga dari kanan) bersama Dr Jaujan (dua dari kanan) meninjau sebahagian kenderaan yang diserahkan, semalam.
Oleh Salman Hamat dan Syamimi Jamil
am@hmetro.com.my


Permatang Pauh: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyumbangkan 34 kenderaan terpakai bernilai RM100,000 kepada GiatMara bagi membantu pelatih institusi latihan itu menguasai kemahiran dalam bidang automotif.

Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah berkata, kenderaan terpakai itu membabitkan kereta dan motosikal yang bakal dilupuskan daripada perkhidmatan.

Menurutnya, sehingga kini, empat GiatMara termasuk di Permatang Pauh dan Sungai Bakap sudah menerima kenderaan berkenaan untuk digunakan sebagai alat bantuan mengajar.

“Setiap tahun pasti ada kenderaan dilupuskan dan kebiasaannya ia dilelong, tetapi hasil inisiatif hijau yang dilancarkan, kami mengambil pendekatan menyerah kereta atau motosikal berkenaan kepada GiatMara.

“Kenderaan berkenaan akan digunakan pelatih di institusi berkenaan, sekali gus memberikan nilai tambah yang lebih berganda kepada kerajaan berbanding sekiranya ia dilelong,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Terpakai ‘Reduce, Reuse, Recycle (3R) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di GiatMara Permatang Pauh, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 8:14 AM