Oleh Mohaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Tindakan seorang lelaki menegur isterinya yang pulang lewat ke rumah di Jinjang, di sini, kelmarin, mengundang padah apabila dia dipukul wanita itu selain diugut dengan pisau.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa berusia 34 tahun meminta penjelasan daripada isteri berumur 35 tahun yang tidak pulang ke rumah seharian sejak pagi.

Sumber berkata, tindakan lelaki itu menyebabkan isterinya melenting sehingga berlaku pertengkaran.

“Wanita itu meminta suaminya menceraikan dia dengan alasan mereka sudah tidak sehaluan.

“Mangsa kemudian emberitahu jika mahu bercerai, dia ingin hak penjagaan anak menyebabkan wanita terbabit tidak berpuas hati dan terus menyerangnya,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa dipukul dengan tangan selama beberapa minit.

“Wanita terbabit yang masih tidak berpuas hati berlari ke dapur dan mengambil pisau, cuba menikam mangsa namun gagal.

“Dia yang berang kemudian bertindak merosakkan barangan di dalam rumah dan mengugut menikam diri serta mendakwa mangsa yang melakukan perbuatan itu,” katanya.

Bimbang lebih buruk, mangsa membuat laporan di Balai Polis Jinjang untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:20 AM