Kangar: “Tidak wujud soal halal atau haram dalam pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), malah tiada fatwa perlu dikeluarkan mengenai cukai,” kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Begitu pandangan Mohd Asri berhubung tindakan kerajaan melaksanakan sistem cukai baru berkuat kuasa 1 April ini, namun berharap kajian menyeluruh perlu dilakukan sebelum menguatkuasakannya berikutan keadaan ekonomi kurang baik selain beberapa isu lain.

Mohd Asri berkata, tiada hukum halal atau haram berkenaan cukai perlu dikeluarkan kerana sebelum ini, orang ramai sudah pun membayar cukai kerana kerajaan mempunyai hak berikutan sumber kewangan itu untuk pembangunan negara.

Bagaimanapun, katanya beliau bersetuju dengan sesetengah pihak yang mencadangkan pelaksanaan GST pada April ini dikaji semula kerana rakyat kini dibebani dengan kenaikan harga barangan selain keadaan ekonomi yang tidak kukuh.

“Prasangka orang ramai terhadap tekanan hidup serta kenaikan harga barang menyebabkan GST disifatkan tidak sesuai dilaksanakan buat masa sekarang.

“Jika ia dilaksanakan juga mungkin menimbulkan persepsi buruk orang ramai terhadap kerajaan selepas keadaan ekonomi negara yang tidak stabil sejak kebelakangan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:23 AM