PERKHIDMATAN teksi rata-rata tidak memuaskan hati penumpang.

Kuala Lumpur: Rata-rata pengguna pengangkutan awam tidak bersetuju dengan kenaikan tambang baru teksi dan bas ekspres berkuatkuasa 1 April ini dan beranggapan bahawa kenaikan yang dikenakan itu membebankan.

Kebanyakan mereka yang ditemui di Pudu Sentral dan KL Sentral menggesa pihak kerajaan supaya mengkaji atau menangguhkan pelaksanaan kenaikan tambang baru itu ke satu tarikh lain.

Eksekutif syarikat perunding, Wan Mohd Hafiz Wan Yusof, 31 berkata, kenaikan harga tambang itu agak tinggi dan tidak sepadan dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh beberapa syarikat bas.

“Saya sering menggunakan perkhidmatan bas sekiranya saya pulang ke kampung halaman saya di Kota Baru. Namun, apa yang mengecewakan adalah kenaikan ini tidak setara dengan kualiti perkhidmatan bas kerana adakalanya bas lambat tiba ke destinasi dan pemandu membawa kenderaan terlalu laju sehingga membahayakan penumpang jadi tidak adil sekiranya penumpang terpaksa menanggung kenaikan sedangkan kualiti masih pada tahap lama,” katanya.

Eksekutif syarikat swasta, Mohd Ikmal Fattah Sharif Fisalluddin, 27, pula berpendapat pelaksanaan semakan tambang baru teksi dan bas itu seharusnya dilaksanakan selepas tempoh penguatkuasaan cukai GST.

“Saya faham apabila kos operasi pengusaha teksi dan syarikat bas meningkat maka mereka juga mahu harga tambang dinaikkan tetapi pelaksanaan pada 1 April itu bukankah seiring dengan cukai GST jadi sudah tentu ramai pihak akan mengaitkan pelaksanaan ini dengan cukai GST,” katanya.

Bagi peniaga, Muhamad Affan Yunus, 31, berkata kenaikan tambang baru ini bakal menambahkan lagi bebanan keluarga untuk pulang ke kampung menggunakan kenderaan awam.

“Bagi golongan berpendapatan rendah, kenaikan ini akan menyebabkan mereka akan berfikir beberapa kali untuk menggunakan kenderaan awam bagi perjalanan jarak jauh termasuk ke kampung halaman mereka kerana tambang sudah semakin mahal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:44 AM