ANTARA perokok yang membayar kompaun di kaunter bergerak di Terminal Perhentian Pengangkutan Awam Segamat.
Oleh Ahmad Ismail

Segamat: Seorang lelaki sanggup menelan puntung rokok mengelak diambil tindakan kerana merokok di lokasi larangan ketika anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Daerah Segamat membuat pemeriksaan di sekitar bandar, kelmarin.

Lelaki berusia 30-an itu dikesan berbuat demikian selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa terbabit membuat pemeriksaan di terminal bas dan teksi awam di bandar Segamat.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan dikatakan terpaksa memuntahkannya kerana tidak dapat menahan kepanasan bara puntung rokok di dalam mulutnya itu.

Lelaki terbabit antara 80 perokok berusia 40 tahun ke bawah yang dikesan melanggar peraturan dan dikenakan kompaun dalam pemeriksaan yang bermula jam 8 pagi hingga 4 petang itu.

Pegawai Kanan Jabatan Kesihatan Daerah Segamat Dr Mokhtar Ahmad berkata, pemeriksaan itu dibuat menerusi Ops Tumpuan Awam bagi mengesan perokok degil yang masih tidak mematuhi Peraturan Kandungan Hasil-Hasil Tembakau 1993 pindaan 2004.

Menurutnya, pelbagai taktik yang dilakukan perokok dikesan tidak mematuhi peraturan merokok di tempat awam dalam operasi disertai 30 kakitangan Jabatan Kesihatan Daerah Segamat dengan bantuan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat dan penguat kuasa Majlis Daerah Segamat (MDS).

Katanya, ada perokok memberi alasan lapuk bagi mengelak diambil tindakan termasuk tidak tahu lokasi sebenar kawasan larangan.

“Ada antara mereka juga mendakwa buta huruf serta tidak dapat membaca poster yang ditampal di situ,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Gudang Ubat, semalam.

Hadir sama Penolong Pegawai Kanan Persekitaran Jabatan Kesihatan Daerah Segamat Zain Shariff dan Penolong Pegawai Persekitaran Jabatan Kesihatan Daerah Segamat Razali Md Akhir.

Zain berkata, selain sanggup menelan puntung rokok, pihaknya turut mengesan ada perokok mengambil risiko menyembunyikan puntung rokok masih berbara di dalam poket seluar mereka.

Katanya, perokok yang dikenakan kompaun itu berdepan denda maksimum sehingga RM1,000 kerana merokok di lokasi larangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:54 AM