NAJIB  beramah mesra dengan penerima Anugerah MyHarapan pada Persidangan Antarabangsa Pemimpin Muda 2015. Turut bersama,  Khairy  (dua dari kanan) di  Kuala Lumpur, semalam.
NAJIB beramah mesra dengan penerima Anugerah MyHarapan pada Persidangan Antarabangsa Pemimpin Muda 2015. Turut bersama, Khairy (dua dari kanan) di Kuala Lumpur, semalam.

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu lebih ramai belia meneroka keusahawanan sosial bagi membantu mewujudkan impak positif berkekalan kepada masyarakat.

Beliau berkata, ketika Malaysia beralih kepada negara berpendapatan tinggi, keusahawanan sosial akan menjadi bidang penting dalam mewujudkan ekonomi yang berasaskan pengetahuan dan inovasi.

Ia juga kunci untuk memacu transformasi sosial dan mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang dan saksama.

“Model Baru Ekonomi menyediakan rangka kerja dan persekitaran untuk mengupayakan perusahaan swasta, selain mengurangkan jurang pendapatan.

“Namun, model ekonomi semata-mata tidak mencukupi. Kita perlukan model sosial yang mampu mewujudkan perubahan sosial,” kata Najib dalam ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Pertama Pemimpin Muda 2015, di sini, semalam.

Keusahawanan sosial ialah model keusahawanan yang tidak hanya mementingkan keuntungan, malah menekankan kepada pewujudan masyarakat yang berimpak positif dan saksama. Walaupun masih baharu, namun ia semakin mendapat perhatian dalam kalangan belia.

Najib berkata, mereka yang mengamalkan keusahawanan sosial turut memperoleh manfaat dari segi kemahiran perniagaan, teknikal dan fungsi, selain menanam nilai mulia untuk meningkatkan taraf hidup orang lain.

“Saya percaya berdasarkan peluang yang ada, golongan muda yang mahu merubah dunia akan menggunakan model perniagaan sosial bagi mewujudkan impak positif dan berkekalan dalam isu membabitkan sosial dan persekitaran,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus menyokong keusahawanan sosial, termasuk menyediakan kemudahan pembiayaan dan kemahiran, bagi melahirkan usahawan muda dalam sektor itu.

Sebagai contoh, beliau berkata, penubuhan unit keusahawanan sosial di bawah Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).

“Keusahawanan Sosial MaGIC kini adalah pusat setempat untuk usahawan sosial di Malaysia memberi inspirasi kepada generasi baharu supaya menjadi rakyat yang aktif, selain meluaskan capaian usahawan sosial sedia ada,” katanya.

Acara tiga hari bertema ‘Merubah masyarakat menerusi keusahawanan sosial’ itu menarik 300 peserta dari 10 negara.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan timbalannya Datuk M Saravanan serta Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pada acara itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah MyHarapan kepada pemenang tujuh kategori yang dipertandingkan.

Sementara itu, Khairy berkata, Kementerian Belia dan Sukan akan terus menjadi pemudahcara bagi menggalakkan belia menceburi keusahawanan sosial, selain mendedahkan mereka kepada peluang serta bantuan yang ada. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:57 AM