Kuala Lumpur: Ibu produser, Raja Azmi Raja Sulaiman meninggal dunia kerana strok di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini, semalam.

Menerusi aplikasi WhatsApp, Raja Azmi memaklumkan ibunya, Laliah Abdullah, 76, meninggal dunia sekitar jam 10.15 pagi semalam. Allahyarhamah dimasukkan ke hospital sejak 27 Februari lalu akibat strok.

“Ibu berada di hospital selama tiga minggu. Arwah akan dikebumikan pada hari ini (semalam) selepas Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussin Onn, Cheras,” katanya.

Allahyarhamah meninggalkan enam anak, 15 cucu dan dua cicit.

Sementara itu, ibu aktor terkenal, Johan Asari, Datin Firdaus Abdul Kader, 58, dikejarkan ke hospital apabila tiba-tiba rebah ketika sedang berehat di ruang tamu di kediaman mereka di Subang Jaya.

Ketika dihubungi, Johan menjelaskan, itu adalah kali keempat ibunya diserang angin ahmar. Bagaimanapun sebelum ini, serangan itu hanyalah strok ringan dan ibunya pulih seperti sedia kala.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2015 @ 8:20 AM